TRAP SERIES STATEMENT

PERNYATAAN PENGKARYA DALAM TRAP SERIES

BAHAN KAJIAN, BAHAN DAN KARYA :

Bahan merujuk kepada sesuatu objek yang dikenali samada dari segi rupa dan bentuk atau yang menjalani proses pembuatan yakni dari pengkarya itu sendiri.

Pengkarya memproses sesuatu bahan itu menjadi karya seni, sebagai contoh menggunakan cat, plaster, woodfiler, serbuk kayu, gam, plastik, elemen semulajadi dan sebagainya sehinggalah kepada bahan-bahan terbuang dan persekitaran untuk menghasilkan seni. Hasil dari proses itulah wujudnya karya berbentuk bahan campuran.

Di dalam seni bahan campuran, samada sesuatu bahan itu telah menjalani proses atau masih kepada pengekalan identitinya tertakluk kepada bagaimana pengkarya itu berkarya.

Secara asasnya idea karya saya adalah ‘from functional form to art form’. Idea dasar karya saya sejak 1991 lagi adalah bubu atau berkaitan dengan perangkap. Sebagai contoh, bubu merupakan sejenis alat trdisional untuk menangkap ikan, telah digunakan oleh masyarakat di Malaysia malah seluruh dunia dengan berbagai bentuk dan penggunaanya pada persekitaran dan  kehidupan seharian, namun demikian kini ianya tidak lagi dipraktikan lagi secara meluas.

Bubu mempunyai berbagai bentuk dan saiz, mengikut persekitaran sesuatu masyarakat itu tinggal namun fungsinya sama iaitu menangkap ikan. Bubu diletakkan di tepi sungai atau muara untuk beberapa ketika atau hari sebelum hasil tangkapan di ambil, pun begitu terdapat bubu yang lebih besar digunakan di persekitaran laut.

Bubu asasnya dihasilkan dengan menggunakan buluh, tali, jala, kayu, dawai dan rotan. Di bahagian tengah dalamnya direka satu saluran tirus bagi tujuan ikan masuk kedalamnya. Apabila ikan berenang ke dalam bahagian tersebut maka ia akan terperangkap dan tidak dapat melepaskan diri lagi.

Imej – imej yang terdapat pada bubu seperti struktur, jalinan, bentuk, olahan serta konsep bubu itu sendiri dijadikan sebagai rujukan dalam penghasilan karya-karya. Pengolahan dan pengstrukturan semula yang berasaskan kepada bubu mahupun alatan yang merujuk perangkap menjadi gayacara saya dalam menghasilkan sesebuah karya dengan penggunaan bahan campuran seperti besi, canvas, bitumen, tali, jala, buluh, serat semulajadi dan beberapa bahan sokongan lain seperti penggunaan cahaya.

FALSAFAH DISEBALIK KARYA :

Bubu itu kehidupan dalamnya ada kesakitan, dalamnya ada ranjau, ranjau itu yang perlu kita tempohi. Dalam lingkaran-lingkaran bubu itu mengolah seperti jalan-jalan dan memenuhi ruang dan linkungan kehidupan.

Merujuk kepada konsep bubu (perangkap) dan berhubungkait dengan manusia itu sendiri, saya mengintepritasikan bubu itu sebagai simbol kehidupan dilalui oleh setiap manusia. Di setiap kehidupan manusia; pengalaman seperti ketakutan, penderitaan, perasaan marah, merendah diri, penindasan, tamak, ego dan sebagainya yang saling berhubungkait.

Konsep ‘cari makan’ juga sinonim dengan fungsi bubu, serkap atau perangkap itu sendiri di mana asal pembuatannya adalah untuk mencari nafkah atau dalam erti lain ‘cari makan’. Dalam ajaran Islam mencari nafkah yang halal adalah dituntut kerana ia akan menjadi darah daging seseorang manusia itu sendiri, malah darah daging itu juga akan bersusur galur dari generasi ke generasi.

Setiap kehidupan yang dilalui itu boleh menjadi satu perkara atau pengalaman yang baik ataupun tidak, bergantung kepada penerimaan dan cara seseorang itu menghadapinya. Pada diri manusia itu sendiri terdapat naluri yang memungkinkan beliau bertindak pasif atau agresif. Pada sesetengah orang, kehidupannya; seperti di bawa arus dan hanya perlu mengikuti atau diikuti, tetapi tidak pula pada sesetengah yang lain yang perlu berhempas pulas berjuang dalam menjalani kehidupannya.

KESIMPULAN KARYA

Kesimpulannya hasil karya saya ialah dari pengolahan dan konsep bubu atau merujuk kepada perangkap. Bila diperkatakan secara elemen dan prinsipal seni dan rekabentuk ianya lebih terarah pengolahan dan bahan. Jika menyelami disebalik karya pula ianya lebih merujuk kepada kehidupan dan pengalaman yang dilalui dan ditempohi samada kepada seseorang individu mahupun masyarakat sekeliling.

Tidak terarah untuk mengkritik seseorang mahupun masyarakat, karya saya ditafsir secara kendiri oleh audien samada mahu melihat secara mata kasar mahupun secara sebaliknya, malah saya lebih menyukai jika ianya menjurus berkongsi kepada pengalaman dan pengamatan terhadap karya itu sendiri.

Karya saya melibatkan gerakcara, pembuatan, pengolahan, ekperimentasi, luahan dan bahan, selebihnya dimengertikan oleh audien dengan interpritasi sendiri.

QUOTE :

“Membentuk estetika dalam sesuatu karya tidak harus melihat kepada keindahan atau kecantikan tertentu, tetapi ianya juga berhubungkait dengan geraklaku serta bagaimana seseorang pengkarya itu berfikir dalam menghasilkan karya”.

Leave a Reply




Message: